SUBANG JAYA – Seorang lelaki diberkas polis di kediaman di Batu 13, Jalan Puchong, di sini, Isnin lalu, kerana dipercayai melakukan amang seksual ke atas anak perempuan tirinya
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, remaja perempuan berusia 15 tahun itu bertindak memberitahu ibunya, 31, mengenai perbuatan tidak senonoh bapa tirinya.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati mangsa pernah memberitahu ibunya bahawa suspek, 36, melakukan perbuatan seumpama itu pada 2021.
“Suspek merayu dan berjanji tidak akan menyentuh mangsa menyebabkan wanita itu tidak membuat laporan polis sewaktu kejadian empat tahun lalu.
“Pada 9 Januari lalu, mangsa memberitahu kepada ibunya bahawa suspek melakukan perbuatan sama ketika si ibu itu keluar bekerja,” katanya.
Susulan itu, ibunya tekad membuat laporan di Balai Polis Putra Height untuk tindakan lanjut.
“Suspek telah dikenakan tahanan reman selama seminggu iaitu sehingga Isnin bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Amang Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.