LANGKAWI – Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN dijangka membincangkan tawaran China untuk bekerjasama dalam membanteras sindiket perjudian dalam talian dan penipuan telekomunikasi pada esok.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tawaran China itu akan dibincangkan dengan negara serantau dalam mesyuarat sehari yang dipengerusikannya.
“Kita akan bincangkan (tawaran China) esok,” katanya ketika ditemui pemberita pada Pemukiman Menteri Luar ASEAN, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Luar China, Wang Yi bahawa China bersedia bekerjasama dengan negara ASEAN dalam memerangi perjudian dalam talian rentas sempadan dan penipuan telekomunikasi.
Wang menyatakan perkara itu dalam pertemuan dengan diplomat dari 10 negara ASEAN di Beijing seperti dilaporkan sebuah portal.
Wang dilaporkan menekankan insiden membimbangkan baru-baru ini mengenai perjudian dalam talian dan penipuan telekomunikasi di sepanjang sempadan Thailand-Myanmar yang mengancam keselamatan warganegara China.
Beliau turut menggesa negara yang terlibat untuk mengambil tanggungjawab dan melaksanakan langkah-langkah tegas bagi menangani jenayah ini secara tuntas.
Wang juga menyatakan kesediaan China untuk meningkatkan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan di negara ASEAN, sama ada secara dua hala atau pelbagai hala, untuk mewujudkan persekitaran selamat bagi pertukaran antara rakyat dan mempromosikan kerjasama harmoni antara negara jiran.
Terdahulu, Mohamad mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Negeri Thailand, Maris Sangiapongsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC).
Kata beliau, dalam pertemuan itu, kedua-dua negara hanya membincangkan langkah terbaik untuk memperkukuhkan hubungan keluarga ASEAN.
“Melihat kepada geopolitik dan geoekonomi dunia sekarang, saya rasa rugi jika ASEAN tidak bersatu. Sebab itu kami memilih tema inklusiviti dan kelestarian tahun ini. Kita mesti inklusif, bersatu,” katanya. – KOSMO! ONLINE