PETALING JAYA – Budaya pelik yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar Malaysia saban tahun selepas penghujung persekolahan muncul lagi hari ini.
Seperti acara tahunan budak-budak nakal, baju putih sekolah diconteng dengan lukisan, perkataan jelik dan kesan tapak kasut akan menjadi kebanggaan pelajar-pelajar ketagori ini.
Malah, dengan pakaian sekolah berconteng itu golongan pelajar ini berarak dan menunggang motosikal keliling pekan bagi meraikan tamatnya sesi persekolahan mereka bagi tahun ini.
Maka hari ini, situasi tersebut kembali berlaku lagi apabila beberapa klip video telah ditularkan di beberapa saluran media sosial tempatan.
Melalui satu klip video di Facebook, sekumpulan pelajar didapati berbaris beramai-ramai di salah sebuah balai polis selepas difahamkan ditahan dalam satu sekatan jalanan.
Walaupun lokasi kejadian tersebut tidak dinyatakan secara terperinci, namun difahamkan berlaku pada hari ini.
Orang ramai juga telah mengagak dan percaya situasi seperti ini akan terus berlaku sekiranya tidak dibendung daripada awal.
“Aku dah agak,mesti ada budak lukis baju sekolah nak-nak cuti ni. Aku pun tak faham budaya apa la budak-budak ni ikut,” kata Acap Ghazali.
“Dah mula dah, lepas ni tengok pula lepas SPM. Itu lagi dahsyat aku rasa,” kata Nik Marzuqi.
“Entah apa la hebat sangat budak-budak ni, ni mungkin tanda-tanda akan jadi pilot darat la ni,” kata Nahzim Fkhri. – KOSMO! ONLINE