PETALING JAYA – Perbuatan peniaga yang tunduk sebagai tanda syukur setiap kali pelanggan membeli kuih sejuk beku yang dijualnya mengundang sebak dalam kalangan orang ramai.
Menerusi perkongsian TikTok oleh @Fatinshafiqaa, dia dan ibunya singgah membeli kuih yang dijual seorang lelaki dari kereta jenis Perodua Kancil uzur.
“Pak cik buat sendiri kuih ini dengan isteri. Setiap hari pukul 3 petang meniaga di sini. Murah sangat. Semua kuih 12 biji, RM6 je pak cik jual,” tulisnya dalam video tersebut.
Ibunya turut memborong beberapa plastik kuih karipap dan cucur badak.
Lebih menyentuh hati, sebaik sahaja menerima wang pembelian, lelaki itu tunduk sebagai tanda syukur kepada wanita tersebut kerana sudi membeli jualannya.
“Setiap kali orang beli, pak cik ni memang akan tunduk tanda terima kasih. Siap doakan lagi untuk kita. Semoga doa pak cik ini Allah angkat,” luahnya sebak.
Hantaran ini menyentuh hati ramai pengguna media sosial dengan rata-rata mereka berasa sebak melihat keikhlasan lelaki tersebut berniaga.
“Orang macam ini kita kena ‘support’ (sokong), sebab dia meniaga bukan untuk kaya, tapi hanya untuk teruskan hidup dan sara hidup,” ujar Lynn.
“Dari kau beratur beli produk orang yang dah kaya, baiklah pergi ‘support’ peniaga macam ini,” kata Amyzuliatie.
“Belilah kuih dia. Memang sedap. Karipap dia memang rasa version (versi) kuih kampung. Haritu, bagi duit lebih sikit, dia doakan sampai aku masuk kereta. Sebak weh,” kongsi Lin Razali. – KOSMO! ONLINE
@ftnpqaEdit sambil nangis hm 😭 Ingat sesusah kita ada yang lagi susah.♬ bunyi asal – takdir & waktu