fbpx

Thailand seru rakyat pulang, tabur bakti di tanah air sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pekan Sungai Golok, Thailand merupakan antara lokasi tumpuan pelancong dari Malaysia untuk mencari hidangan masakan ala Thai. -Foto KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!

NARATHIWAT, THAILAND – Kerajaan Thailand menyeru masyarakat di Selatan Thailand yang bekerja di Malaysia untuk pulang ke tanah air dan memanfaatkan peluang pekerjaan di wilayah ini.

Gabenor Wilayah Narathiwat, Trakul Thotham berkata, pihaknya tidak menafikan ramai rakyat Selatan Thailand bekerja di Malaysia ketika ini kerana tawaran gaji yang lumayan.

Katanya, kebanyakan mereka bekerja di sektor pertanian dan membuka premis makanan di Malaysia kerana kedua-dua bidang tersebut mempunyai permintaan tinggi.

“Kita tahu rakyat Malaysia sukakan hidangan makanan tomyam yang berasal dari sini. Bila rakyat Thailand buka premis makanan di sana, sudah tentu mereka akan meraih keuntungan besar kerana ada permintaan makanan setiap hari.

“Kerajaan Thailand banyak melaksanakan pelan pembangunan ekonomi di Selatan Thailand. Jadi, ini masanya untuk mereka pulang dan menabur bakti di tanah air sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat Gabenor Wilayah Narathiwat di sini baru-baru ini.

Trakul berkata, pelbagai pekerjaan boleh dilakukan di Narathiwat antaranya tanaman padi, durian dan getah yang semakin banyak diusahakan rakyat tempatan.

Menurutnya, peluang untuk membuka premis makanan di Selatan Thailand juga besar kerana kawasan ini menjadi tumpuan rakyat Malaysia untuk bercuti.

“Kerajaan dan pihak berkuasa di Wilayah Selatan Thailand sentiasa berkompromi terhadap aspek agama dan budaya setiap rakyat. Kita tidak pernah menghalang rakyat untuk mengamalkan agama dan budaya masing-masing.

“Kelonggaran itu diberikan kepada semua rakyat di Thailand agar kita hidup dalam keadaan majmuk.

“Oleh itu, saya sangat alu-alukan rakyat di Selatan Thailand yang bekerja di Malaysia untuk pulang dan menabur bakti di sini sekali gus dapat meningkatkan sektor ekonomi masyarakat setempat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI