KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani melengkapkan hari sempurna buat kem badminton negara selepas mara ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka India.
Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Stadium Indira Gandhi, New Delhi sebentar tadi, pasangan No.2 dunia itu mudah menewaskan pasangan kembar dari Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen 21-11, 21-17.
Kemenangan itu sedikit sebanyak mengubat kekecewaan Sze Fei-Izzuddin, terutamanya selepas mereka terkandas seawal pusingan pertama pada Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil minggu lalu.
“Memang kami berdepan aksi cukup sukar minggu lalu (Terbuka Malaysia) tetapi terima kasih kepada jurulatih dan pasukan kerana sentiasa memberi semangat kepada kami untuk melakukan yang terbaik.
“Gembira untuk berada di kedudukan No.2 dunia sekarang tetapi apa yang penting adalah prestasi dan kami sentiasa bekerja keras. Memang ada sasar (naik) ranking tetapi prestasi juga penting,” kata Sze Fei kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Menjelang separuh akhir esok, juara Terbuka China tahun lalu itu akan menantikan pemenang perlawanan antara beregu Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Jin Yong dan wakil tuan rumah, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy.
Terdahulu, empat wakil negara sudah meneruskan kemaraan ke separuh akhir termasuk beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan-M. Thinaah (beregu wanita) serta dua beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai. – KOSMO! ONLINE