BALIK PULAU – Seorang pengusaha ikan hiasan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki dua laras senjata termasuk satu yang tiruan, pada Isnin dan Selasa lalu.
Tertuduh, Soon Hoe Jin, 58, bagaimana mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan berwarna hitam coklat di tepi Kotak Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Dato Ismail Hashim, Sungai Ara, kira-kira pukul 9.30 malam, 13 Januari lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika disabit bersalah.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani manakala tertuduh diwakili peguam Eddie Kwang.
Dalam prosiding, Lushani memohon jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin manakala Eddie meminta jaminan tersebut dikurangkan bagi memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.
Bagi pertuduhan kedua, Hoe Jin didapati memiliki sepucuk senjata api jenis Revolver .38 S&W SPL. P 2 Inci yang bernombor siri CPZ4899 dengan menyalahi undang-undang di dalam stor rumah Mukim 4, daerah Barat Daya, kira-kira pukul 12.25 pagi, 14 Januari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan enam kali sebatan.
Pendakwaan kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong manakala tertuduh masih diwakili peguam yang sama.
Ketika prosiding, Jin Hong memohon supaya mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dikenakan terhadap tertuduh memandangkan ia merupakan satu kesalahan yang berat iaitu memiliki senjata api.
“OKT (orang kena tuduh) merupakan seorang pesakit jantung dan mohon jaminan minima kerana dia ada ambil ubat,” ujar Eddie.
Hakim kemudiannya tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 9 April depan sebagai sebutan semula kes. -KOSMO! ONLINE