KUALA LUMPUR – Kelebihan tangan kidal dimiliki pemain China, Weng Hong Yang menjadi antara punca perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao kempunan melangkah ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka India.
Pada aksi pusingan kedua di Stadium Indira Gandhi, New Delhi semalam, bekas juara remaja Asia itu terpaksa akur pulang lebih awal apabila tewas menerusi aksi straight set 18-21, 12-21.
Jun Hao berkata, corak permainan yang ditampilkan Hong Yang selain memiliki kelebihan tangan kidal membuatkan dia sukar untuk meneka arah pukulan bulu tangkis dilakukan pemain No. 21 dunia itu.
“Saya fikir hari ini (kelmarin) tidak terlalu selesa dengan corak permainan Weng (Hong Yang). Pukulan penjuru hadapan (gelanggang) yang dilakukan memang mengganggu momentum permainan saya.
“Selain itu, dia juga seorang pemain yang bertangan kidal, jadi bulu tangkis dan sudut pukulan dibuat memang berikan kesukaran kepada saya,” kata Jun Hao yang akan menggalas misi pada Indonesia Masters selepas ini.
Terdahulu, Jun Hao mempamerkan aksi cemerlang di pusingan pertama apabila bangkit daripada ketinggalan sebelum mencatat kemenangan 18-21, 21-17, 21-17 ke atas pilihan kelima, juga dari China, Li Shi Feng.
Menjelang Indonesia Masters di Jakarta bermula Selasa ini, pemain berusia 26 tahun itu dijangka berdepan laluan sukar apabila sekali lagi bertemu Hong Yang seawal pusingan pertama.
“Selepas ini adalah Indonesia Masters dan paling penting, saya perlu bekerja keras dan cuba tampilkan aksi terbaik,” ujar Jun Hao yang naik satu anak tangga apabila menghuni ranking 29 dunia ketika ini. – KOSMO! ONLINE