JOHOR BAHRU – Kedatangan Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada 29 Januari ini menjadi sambutan paling tragis buat seorang pekerja restoran apabila dia bukan sahaja kehilangan ibu, tetapi adik dan anaknya.
Ketiga-tiga ahli keluarga Lee Chiew Siang, 31, itu rentung dalam kebakaran melibatkan kediaman mereka di Kampung Dato Bentara, Jalan Manis, Ulu Tiram di sini pada pukul 2.46 pagi tadi.
Mangsa yang terlibat ialah ibunya, Ng Geok Choo, 63, dan anak perempuannya, Chen Si Jing, 11, ditemukan maut dalam bilik tidur, manakala adiknya, Lee Chiw Yong, 30, ditemukan maut di dalam bilik air.
Chiew Siang memberitahu, dia baharu tamat shif bekerja di Iskandar Puteri sebelum mendapat panggilan pihak hospital pada pukul 4 pagi memintanya datang ke Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini dengan segera.
“Setibanya di sini, saya dapati seorang anak lelaki saya iaitu Chen Yu Rong, 12, sedang dirawat akibat kebakaran. Kemudian saya dimaklumkan bahawa ibu beserta adik lelaki dan anak perempuan saya telah maut dalam kebakaran.
“Memang terkejut dan sedih, kejadian seperti ini berlaku ketika sambutan Tahun Baharu Cina sudah dekat, tidak sangka ia boleh terjadi kepada keluarga saya,” katanya yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik.
Tambah Chiew Siang, dia dan suaminya masing-masing bekerja manakala kedua-dua anak mereka tinggal bersama nenek di Ulu Tiram.
“Anak-anak saya tinggal dengan nenek mereka di Ulu Tiram, dan anak perempuan saya memang memang tidur bersama-sama neneknya,” katanya ringkas sambil menahan sebak.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kesemua mangsa merupakan ahli keluarga dengan tiga daripada mereka maut dan seorang cedera akibat melecur.-KOSMO! ONLINE