KUALA PERLIS – Taktik sindiket penyeludupan menyembunyikan guni berisi ganja di celah akar pokok bakau di perairan Bukit Putih, di sini gagal apabila berjaya dibongkar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 6 Januari lalu.
Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata, hasil maklumat risikan, sepasukan anggota Kastam Cawangan Penguatkuasaan Marin Kuala Perlis menjalankan pemeriksaan di kawasan hutan paya bakau di situ.
“Pemeriksaan menemui empat bungkusan guni putih mengandungi 89 ketulan mampat dadah disyaki ganja seberat 89.48 kilogram (kg) dengan anggaran nilai RM275,900.
“Lokasi itu berhampiran dengan garis sempadan dan dipercayai sindiket meninggalkan bungkusan tersebut di kawasan berkenaan sebelum diambil oleh individu lain,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, dalam kes berasingan, katanya, pada 10 Januari lalu, dua pasukan Kastam Cawangan Penguatkuasaan Marin Kuala Perlis berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar 1.37 tan daun ketum ke Thailand.
Katanya, dalam kejadian antara pukul 10.10 malam hingga 10.15 malam itu, pasukan penguat kuasa mengejar dua bot fiber yang bergerak laju ke arah Thailand di perairan Sungai Padang.
“Ketika anggota menghampiri salah sebuah bot, suspek bertindak memecut laju ke perairan cetek sebelum salah sebuah bot tersangkut pada pukat. Dua lelaki dari setiap bot kemudian terjun ke dalam air dan berenang melarikan diri.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot pertama menemukan 82 bungkusan plastik hitam, manakala bot kedua membawa 55 bungkusan plastik hitam, masing-masing berisi daun hijau dipercayai ketum,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE