KETUA prestasi tinggi dan perubatan sukan skuad Harimau Malaya, Dr. Craig Duncan berharap dapat membentuk gandingan ampuh dengan Peter Cklamovski bagi memastikan pasukan bersedia menghadapi kelayakan Piala Asia 2027, Mac depan.
Kata Duncan, fokus utama sekarang adalah untuk membina struktur yang betul selain mengenal pasti senarai pemain yang boleh bantu meningkatkan kualiti skuad kebangsaan nanti.
“Sasaran awal kita sudah tentulah aksi penting pada Mac depan dengan menentang Nepal kerana itulah tumpan pasukan ketika ini.
“Saya bertuah kerana pernah bekerjasama dengan ketua jurulatih, Cklamovski sebelum ini. Beliau seorang jurulatih yang bagus dan saya tahu apa yang beliau mahukan.
“Keutamaan kami adalah untuk mendapatkan struktur kem (latihan) yang betul, mengenali pemain, menguruskan pemain melalui kem tersebut.
“Kemudian, saya akan membantu pemain seperti yang dimahukan Cklamovski untuk bermain permainan itu nanti,” katanya selepas melaporkan diri ke Wisma FAM, Kelana Jaya awal minggu ini.
Mengulas lanjut, Duncan yang juga bekas ketua sains sukan Persatuan Bola Sepak Australia (FFA) turut berazam mengangkat reputasi Harimau Malaya ke tahap tertinggi suatu hari nanti.
“Misi saya adalah untuk menjadikan pasukan kebangsaan Malaysia sebagai salah satu pasukan paling cergas di Asia. Ketika ini, perjalanan kita masih panjang.
“Namun, saya percaya kita akan sampai ke tahap tersebut. Ini semua berkait dengan strategi yang bakal kita guna pakai. Usaha ini harus selari dengan rangka kerja prestasi tinggi bertaraf dunia,” katanya.
Pasukan kebangsaan yang kini dalam fasa ‘revolusi’ telah diberi sasaran utama untuk layak ke Piala Asia 2027 dan memastikan Harimau Malaya berada dalam kelompok 100 negara terbaik dunia.
Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan F bersama Vietnam, Laos dan Nepal pada aksi kelayakan nanti dengan posisi juara sahaja yang mengesahkan slot automatik ke kejohanan berprestij di Arab Saudi pada dua tahun lagi. – KOSMO! ONLINE