PETALING JAYA – Jabatan Imigresen (JIM) menahan 56 warga asing termasuk seorang majikan warga China dalam serbuan ke atas sebuah kilang kayu dan kilang plastik di Semenyih dan Balakong, baru-baru ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang bermula pada pukul 11.30 pagi itu dibuat berdasarkan maklumat awam dan risikan.
“Operasi itu melibatkan pasukan dari Cawangan Tindakan Khas, Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya yang mana 82 warga asing serta tujuh tempatan telah diperiksa.
“56 daripadanya telah ditahan, terdiri daripada tiga lelaki dan empat perempuan warga Indonesia, Myanmar (27 lelaki dan 11 perempuan), Bangladesh (lima lelaki dan seorang perempuan), Thailand (empat perempuan) dan China (seorang lelaki) iaitu merupakan majikan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, terdapat pekerja warga asing cuba melarikan diri dan bersembunyi di dalam kawasan kilang ketika serbuan dilakukan, namun berjaya digagalkan.
“Kawasan kilang yang sangat luas dan dipenuhi timbunan kayu menyukarkan anggota serbuan untuk melakukan pemeriksaan.
“Semua yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
Tambah beliau, sebanyak lima saman kepada saksi turut dikeluarkan kepada warga Malaysia untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
“JIM tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram atau lebih masa dan menyalah guna pas di negara ini.
“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE