Mohon pandangan Datuk, adakah roh seorang penjamin hutang akan tergantung selepas meninggal dunia sekiranya hutang itu tidak dilunaskan?
JAWAPAN: Dalam hal hutang yang masih tidak dilangsaikan oleh peminjam asal atau penjamin sedangkan pemiutang menuntut haknya, terdapat pelbagai hadis yang memberi ancaman.
Ini termasuklah ancaman roh dan amalan yang tergantung bagi golongan yang tidak membayar hutang khususnya mereka berkemampuan, tetapi sengaja tidak mahu membayarnya.
Namun begitu, sekiranya penjamin betul-betul berada dalam keadaan muflis dan tidak berkemampuan untuk membayarnya sehinggalah ditakdirkan meninggal dunia, ada dua perkara yang boleh dilakukan.
Pertama, penjamin atau ahli warisnya boleh memohon zakat bagi kategori gharimin iaitu ‘orang yang berhutang’ kerana di dalam mazhab Syafi’i, zakat boleh diberikan kepada individu yang menjadi penjamin bagi orang lain berhutang.
Kedua, para ulama membenarkan penjamin menuntut semula segala pembayaran yang dibuat sepanjang menjadi penjamin.
Dalam erti kata lain, peminjam asal tetap perlu membayar semula duit yang telah dibayar oleh penjamin sekiranya dia menuntutnya.
Seandainya, penjamin meninggal dunia, ahli waris boleh menjadi wakil untuk menuntutnya setiap kali bayaran dibuat.
Semoga dengan segala usaha dan kesungguhan yang ditunjukkan, Allah SWT memudahkan segala urusan lantas menjadi asbab terlepas daripada tergolong dalam kalangan mereka yang bermudah-mudah dalam urusan hutang.
Secara asasnya, apabila seseorang secara sukarela menjadi penjamin dan memenuhi syarat-syaratnya, maka beban tanggungjawab hutang akan ditanggung secara bersama antara peminjam asal dan penjamin.
Beban hutang hanya terlepas apabila hutang tersebut dilangsaikan sama ada daripada pihak penjamin, peminjam asal, pembahagian bersama ataupun dihalalkan oleh pemiutang.
Perbahasan di atas dimasukkan oleh para ulama dalam bab al-Dhaman atau al-Kafalah. Al-Dhaman bermaksud suatu kontrak yang mengikat seseorang untuk membayar beban hutang yang asalnya ditanggung oleh peminjam, khususnya dalam keadaan peminjam gagal atau ingkar untuk membayarnya. Hutang merupakan tanggungjawab peminjam untuk menyelesaikannya dalam setiap keadaan. Namun, dengan kewujudan kontrak jaminan, tanggungjawab tersebut dikongsi bersama di antara peminjam dan penjamin.
Para ulama menyebut bahawa dibolehkan kepada pemiutang untuk menuntut haknya kepada salah satu pihak yang dikehendakinya atau kedua-duanya dengan cara pembahagian sehinggalah segala hutang dilangsaikan.
Bagaimanapun, sekiranya penjamin betul-betul berada dalam keadaan terdesak, bahkan berstatus muflis dan tidak mampu untuk membayarnya sehinggalah ditakdirkan meninggal dunia, maka hutang tersebut perlu dibayar dengan harta peninggalannya.
Selain itu, penjamin atau ahli warisnya boleh mohon zakat bagi kategori asnaf gharimin iaitu ‘orang yang berhutang’.