BINTULU – Seorang lelaki rentung di dalam lori batu yang terbakar selepas melanggar belakang lori balak di Batu 27, Jalan Bintulu-Miri malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata setakat ini, maklumat mangsa masih belum dikenal pasti.
Menjelas lanjut, beliau berkata dalam kejadian yang dilaporkan kira-kira pukul 10 malam itu, lori membawa muatan batu yang dipandu mangsa telah melanggar belakang lori yang membawa muatan kayu balak lalu terbakar.
Katanya pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu yang tiba di lokasi mendapati lori mangsa terbakar hampir 100 peratus.
“Menurut saksi, seorang mangsa dipercayai pemandu lori masih tersepit di dalam kenderaan tersebut.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak menggunakan satu aliran salur bantu mula bagi memadam kebakaran dan setelah api berjaya dipadam sepenuhnya, mangsa ditemui rentung di tempat duduk pemandu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE