PETALING JAYA – Battersea Power Station yang terletak di lokasi ikonik di tebing Sungai Thames di London satu lagi kebanggaan Malaysia di persada antarabangsa.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan melawat hasil projek syarikat tempatan itu.
Menurut beliau, projek yang sedang dibangunkan tersebut merupakan pelaburan terbesar Malaysia melibatkan dana awam di Eropah.
“Battersea Power Station salah satu projek pemulihan terbesar di Eropah yang menyediakan lebih 4,000 rumah baharu, 3.5 juta kaki persegi ruang komersial bercampur dan 7.69 hektar ruang awam.
“Sebanyak 20,000 peluang pekerjaan dengan kira-kira separuh daripada kawasan kejiranan tersebut telah pun siap dibina setakat ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Zambry berkata, Battersea Power Station dimiliki konsortium syarikat-syarikat Malaysia terdiri daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB), Sime Darby Property, SP Setia dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Dalam hantaran di media sosial malam tadi, Anwar yang juga Menteri
Kewangan turut memaklumkan, beliau dan delegasi sempat singgah di Battersea Power Station sewaktu lawatan kerja di London.
Kata Perdana Menteri, ketersediaan segala infra di situ mampu menarik dan mengembangkan pulangan pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) ke tahap lebih tinggi di masa hadapan. – KOSMO! ONLINE