PETALING JAYA – Siri komik Aku Dia & Volkswagen karya kartunis Ubi yang pernah diterbitkan melalui majalah humor Ujang pada 1998 akan menemui kembali peminatnya tahun ini.
Dalam hantaran terbaru kartunis Ubi di Facebook, siri tersebut bakal diterbitkan semula dan menemu penamtnya selepas ditamatkan pengeluarannya pada 2002 iaitu lebih 20 tahun.
“Penantian lebih 20 tahun ini bakal menemui noktahnya. Beban yang ditanggung selama ini akan terlera. Buat anda yang membacanya dan juga saya yang mengarangnya.
“Andai dikenang kembali atas segala yang telah terjadi dan maruah diri yang diinjak-injak, saya memang dah tak nak sambung cerita ni balik.
“Namun mengenang harapan besar dan janji kepada peminat yang sentiasa bersabar menunggu dan menyokong, segala ego saya ketepikan. Buang yang keruh, ambil yang jernih.
“Doakan segalanya dipermudahkan dan apa yang dirancang berjalan lancer,” tulis Ubi.
Mengenang kembali isu yang telah berlaku selama ini, jelas Ubi, siri tersebut bermula pada 1998 sehingga 2002, terbit dalam 64 bahagian dan hampir 300 mukasurat.
Jelasnya, siri itu dihentikan pada 2002 atas arahan individu yang memegang jawatan tertinggi pengurusan syarikat.
“Tegas beliau, syarikat tidak berminat lagi untuk menyambung cerita tersebut dan segala apa jua karya daripada saya.
“Untuk menerbitkan sendiri sambungan cerita tersebut adalah mustahil kerana hakcipta siri tersebut adalah milik syarikat. Segala apa jua penerbitan berkaitan cerita dan watak komik tersebut wajib mendapat kebenaran pemilik hakcipta.
“Faham dengan situasi ini, maka saya move on meneruskan hidup dengan mencipta siri komik lain dan melibatkan diri dalam kerja-kerja lain berkaitan lukisan kartun demi kelangsungan hidup,” katanya. – KOSMO! ONLINE