KOTA BELUD – Seorang maut manakala tiga cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Kelawat malam tadi.
Kejadian sekitar pukul 8 malam itu, lelaki berusia 58 tahun yang juga pemandu kenderaan pacuan empat roda disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan ekoran tersepit di dalam kenderaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada pukul 8.05 malam sebelum sepasukan pegawai bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi.
“Sejurus tiba, pasukan bomba mendapati memang berlaku kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux bertembung dengan sebuah lori lapan tan.
“Terdapat empat orang mangsa dilaporkan terbabit dalam kes berkenaan.
“Ia termasuklah seorang mangsa tersepit di dalam Toyota Hilux,” katanya ketika dihubungi. – KOSMO! ONLINE