MARAN – Seorang pekebun yang juga merupakan Orang Pengawasan Polis (OPP) ditahan selepas dikesan melakukan beberapa siri jenayah pecah rumah pada siang hari sekitar Pekan Awah dan Chenor di sini sejak Oktober tahun lalu sehingga awal Januari ini.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, suspek berusia 30an ditahan hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Maran di sebuah rumah sewa dekat Chenor di sini kira-kira pukul 11 malam, 8 Januari lalu.
Tambahnya, aktiviti jenayah suspek dikesan selepas melakukan risikan dan menyiasat televisyen litar tertutup (CCTV) di salah sebuah kediaman mangsa.
“Dalam serbuan itu, polis mendapati suspek yang berasal dari Kedah hanya tinggal berseorangan di rumah sewanya dan hasil pemeriksaan lanjut kita menjumpai alat pecah rumah termasuk sebilah parang yang digunakan untuk mempertahankan diri.
“Pelbagai barang kecil disyaki dicuri seperti telefon bimbit, jam tangan dan kasut termasuk motor jenis LC Demak yang digunakan suspek turut dirampas dengan anggaran keseluruhannya bernilai RM3,000 ,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Daerah Maran di sini hari ini.
Kim Wai berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine selain memiliki 13 rekod jenayah lampau dan sembilan rekod penyalahgunaan dadah.
“Sebagai OPP, dia mempunyai lapan bulan lagi untuk menamatkan tempoh pengawasan iaitu pada 4 September depan,” ujarnya.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati modus operandi suspek ialah keluar pada awal pagi dengan alasan untuk bekerja di kebun kelapa sawit sebelum melakukan jenayah pecah rumah itu. – KOSMO! ONLINE