BANGKOK – Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra berlatih mengucapkan salam ‘assalamualaikum’ bermaksud selamat sejahtera ketika berada di dalam sebuah helikopter tentera udara, lapor portal berita Thaiger semalam.
Beliau berlatih membuat sebutan itu sebelum lawatannya ke wilayah majoriti Muslim di selatan Thailand.
Latihan itu dibantu oleh Menteri Kehakiman, Tawee Sodsong dan Paetongtarn mengulangi ucap selamat itu beberapa kali bagi menyempurnakan sebutannya.
“Saya juga berlatih lebih awal (sebelum menaiki helikopter) tetapi saya mahu melakukannya dengan betul,” katanya.
Ucap selamat itu digunakan secara meluas dalam kalangan masyarakat Islam dan mempunyai kepentingan budaya di wilayah selatan Thailand.
Perdana menteri berusia 38 tahun itu disertai oleh rombongan pegawai tertinggi termasuk dua orang Timbalan Perdana Menteri, Phumtham Wechayachai dan Suriya Juangroongruangkit serta Ketua Polis Thailand, Jeneral (polis) Kitrat Phanphet.
Kunjungan sehari mereka bertujuan untuk beramah mesra i dengan komuniti tempatan dan menangani isu pembangunan yang mendesak di wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani.
Pada mulanya, jadual perjalanan Paetongtarn termasuk perhentian di ketiga-tiga wilayah.
Namun, disebabkan hujan lebat, helikopter itu tidak dapat mendarat di Pattani. – AGENSI