PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas 4,000 dokumen bagi membantu siasatan berhubung sindiket rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan pinjaman bernilai RM700 juta kepada penjawat awam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sedang menyiasat pembabitan pegawai bank dan organisasi perunding kewangan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan ini sejak tahun 2020.
Katanya, setakat ini, seramai 16 lagi individu, termasuk pegawai bank dan wakil syarikat perunding kewangan dijangka dipanggil untuk siasatan lanjut dan kemungkinan akan ditahan.
“Pegawai bank yang ditahan terdiri daripada pelbagai jawatan dan sudah bekerja antara lima hingga 20 tahun.
“Pegawai yang menguruskan pinjaman akan menerima 0.5 peratus sehingga satu peratus daripada nilai pinjaman dan ada sesetengah kes pegawai bank akan menerima RM5,000 bagi satu kes pinjaman,” katanya hari ini.
Menurut Azam, pihaknya kini sedang menyenaraikan peminjam terlibat, yang akan dipanggil memberi keterangan dalam masa terdekat.
Kosmo! sebelum ini melaporkan SPRM menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan syarikat perunding kewangan dan pegawai bank di beberapa institusi kewangan.
Difahamkan, pembongkaran itu dilakukan di 24 lokasi termasuk rumah dan pejabat di sekitar Lembah Klang dengan melibatkan penahanan seramai 12 individu.
Kesemua suspek ditahan dalam Op Sky yang dilaksanakan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) dan beberapa institusi kewangan di Lembah Klang.
Kelmarin, seramai 12 suspek termasuk dua pengarah syarikat perunding kewangan, seorang pengarah yayasan, seorang pengurus dan seorang bekas pengurus jualan institusi perbankan telah ditahan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya. – KOSMO! ONLINE