PETALING JAYA – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) memohon Jabatan Peguam Negara (AGC) melakukan pertuduhan terhadap sebuah syarikat yang didakwa menipu lebih 80 mangsa dan mengakibatkan kerugian RM4.7 juta.
Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin hashim berkata, mangsa diperdaya oleh syarikat yang menawarkan skim pelaburan pembangunan hartanah serta menawarkan perkhidmatan untuk membina dan mengubah suai tempat kediaman.
“Jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung mangsa-mangsa ini sebanyak RM4,706,980.21. Majoriti mangsa berasal dari Sarawak kerana kawasan yang kononnya ingin dibangunakan syarikat itu bagi pembinaan rumah tertumpu kepada beberapa buah daerah di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Hishamuddin berkata, MHO dan mangsa terlibat membuat permohonan itu kerana kebanyakan laporan polis yang telah dilakukan oleh mereka diklasifikasikan sebagai ROR (Refer Other Report).
Kata beliau, repot yang telah dirujuk tersebut telah dilengkapkan siasatan dan dilakukan pertuduhan di mahkamah, namun pengadu bagi kes yang telah dilakukan pertuduhan di mahkamah disyaki telah membuat penyelesaian di luar mahkamah bersama syarikat supaya pengadu menarik semula laporan polis yang telah dibuat oleh mereka.
“Mangsa-mangsa ingin menyatakan bahawa disebabkan tiada pengadu bagi pertuduhan yang telah dilakukan di mahkamah, maka kes tersebut telah diklasifikasikan sebagai dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) daripada ena.
“Disebabkan oleh kerana kebanyakan laporan polis mangsa-mangsa ini di ROR kepada kes yang telah DNAA itu, makanya mangsa-mangsa ini terpaksa berputih mata kerana keadilan bagi diri mereka tidak ditegakkan dan dibiarkan tergantung begitu sahaja,” katanya. – KOSMO! ONLINE