KEMAMAN – Gara-gara menunggang motosikal di tapak pasar tani sehingga terlanggar sebuah gerai dan menyebabkan makanan jualan terjatuh, seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) kategori mental cedera dibelasah di Padang Astaka, Chukai di sini hari ini.
Dalam insiden pada pukul 9.30 pagi itu, mangsa berusia 47 tahun dikatakan dipukul dan diterajang oleh beberapa individu dipercayai peniaga dan pelanggan pasar tani terbabit.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja’afar berkata, siasatan awal mendapati kekecohan bermula selepas lelaki terbabit tiba-tiba memasuki tapak pasar tani berkenaan dengan motosikal.
“Motosikal ditunggangnya dikatakan telah terlanggar sebuah gerai menyebabkan makanan jualan terjatuh dan tertumpah ke atas jalan.
“Ia telah menimbulkan ketegangan dan kekecohan menyebabkan lelaki itu dikatakan dipukul beberapa individu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Wan Muhamad berkata, mangsa yang cedera ringan telah dihantar ke Hospital Kemaman di sini untuk menerima rawatan.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati lelaki itu merupakan OKU mental.
“Individu yang terlibat dalam insiden itu telah dikesan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE