BENTONG – Laluan ke Amber Court dan Ion Delemen di Genting Highlands di sini terputus dan tidak dapat dilalui semua kenderaan akibat kejadian tanah runtuh.
Difahamkan tanah runtuh pertama berlaku pada kira-kira pukul 3 petang sebelum kerja-kerja pembersihan dilakukan, manakala runtuhan kedua berlaku pada kira-kira pukul 6 petang menyebabkan laluan ditutup kembali.
Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Wan Ahmad Fadilah Wan Abdul Rahman berkata, runtuhan tanah menutup jalan terbabit tetapi tidak melibatkan kemalangan jiwa.
“Kejadian tidak melibatkan mangsa dan bomba melakukan pemantauan dan usaha pembersihan dilakukan,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE