HULU TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu mengambil inisiatif memperluaskan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di pasar awam pula bagi membantu masyarakat setempat mengimbangi kos sara hidup.
Pengarah KPDN negeri, Saharuddin Mohd. Kia berkata, PJRM @ Pasar yang dimulakan di Pasar Besar Kuala Berang di sini tersebut merupakan tambahan kepada pendekatan secara bergerak, tertutup dan premis tetap yang telah diambil sebelum ini.
“Pelaksanaan (PJRM) di pasar awam sedikit berbeza kerana kita perlu menilai barangan yang menjadi sering tumpuan penduduk setempat berdasarkan maklum balas peniaga terlibat.
“Bagi program perintis PJRM @ Pasar ini, kita telah memberi tumpuan kepada daging lembu, ayam segar, ikan dan sayur-sayuran,” katanya ketika ditemui sewaktu memantau program tersebut di Pasar Besar Kuala Berang di sini hari ini.
Program perintis PJRM@ Pasar itu mendapat sambutan memberangsangkan dengan 600 kilogram (kg) daging lembu yang dijual pada harga RM21 sekilogram habis terjual dalam tempoh kurang setengah jam.
Saharuddin berkata, PJRM @ Pasar itu menawarkan semua barangan keperluan terbabit pada harga 30 peratus lebih murah daripada pasaran semasa.
Beliau berkata, ia melibatkan peruntukan subsidi RM50,000 daripada kerajaan dan disertai 14 peniaga.
“Kita memilih Pasar Besar Kuala Berang kerana sering mendapat aduan kenaikan harga barang daripada pengguna setempat,” katanya. – KOSMO! ONLINE