PELUMBA berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Asri membuka kempen 2025 dengan langkah kanan apabila mempamerkan aksi memukau merangkul dua pingat emas Kejohanan Siri 1 Piala Presiden di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai kelmarin.
Kemenangan tersebut melengkapkan pencapaian gemilangnya selepas menjuarai acara pecut dan keirin elit wanita sekali gus menjadi persiapan terbaik menjelang Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 yang akan membuka tirai bulan depan.
“Ini adalah permulaan yang baik untuk tahun 2025 kerana saya benar-benar telah melakukan persiapan yang rapi. Sebelum ini, saya banyak melakukan kesilapan, jadi saya mahu menebusnya dengan memperbaiki setiap aspek dalam perlumbaan ini.
“Namun, saya sedar masih banyak perlu saya pelajari kerana selepas ini saya mungkin akan berdepan pesaing-pesaing yang lebih hebat. Jadi, saya perlu tingkatkan kekuatan fizikal dan perbaiki teknik kayuhan yang lebih baik.
“Pada perlumbaan di sini, saya tidak memandang mudah keupayaan mereka terutama pelumba dari Hong Kong mahupun Korea kerana saya hanya fokus untuk meningkatkan kayuhan saya dan memberikan yang terbaik.
“Ada lagi dua siri kejohanan selepas ini dan saya tidak boleh selesa dengan kedudukan sekarang. Saya perlu terus meningkatkan prestasi kerana pesaing-pesaing lain juga sedang mengejar,” ujarnya.
Dalam pada itu, Izzah menjelaskan fokusnya terarah kepada persiapan menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) dan mahu menggunakan tahun 2025 sebagai aksi pemanas badan menimba pengalaman.
“Walaupun saya belum dapat memecahkan rekod peribadi, saya anggap ini sebagai permulaan. Saya akan terus berusaha memperbaiki masa dan teknik perlumbaan.
“Kayuhan saya tidak akan berhenti di sini kerana matlamat utama adalah kelayakan ke LA28 dan kejayaan ini hanya langkah awal. Saya akan terus memberi yang terbaik,” tegasnya.
Siri kedua Piala Presiden berlangsung pada 18 dan 19 Januari ini dan tumpuan pasti terarah kepada Izzah untuk meneruskan rentak kecemerlangannya.