TEL AVIV – Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengumumkan awal hari ini bahawa Israel telah memuktamadkan perjanjian gencatan senjata dengan Hamas yang akan menyaksikan pembebasan tebusan yang ditahan di Semenanjung Gaza, lapor saluran berita CBS.
Pejabat Netanyahu berkata dalam satu kenyataan bahawa perdana menteri telah diberikan maklumat yang dikemas kini oleh pasukan perunding bahawa persetujuan telah dicapai dalam perjanjian untuk pembebasan tebusan.
Netanyahu mengarahkan kabinet keselamatannya bertemu lewat hari ini untuk meluluskan perjanjian itu.
Butiran tepat rundingan yang dikemas kini tidak diberikan segera.
Ini berlaku selepas kedua-dua pihak sebelum ini mengumumkan bahawa mereka telah mencapai perjanjian gencatan senjata, berita yang membawa kegembiraan kepada beribu-ribu orang di seluruh wilayah Palestin yang musnah dan di Israel pada Rabu lalu.
Bagaimanapun, kegembiraan itu tidak berterusan selepas berlaku peningkatan pertumpahan darah di Semanjung Gaza dan keraguan yang dilemparkan oleh pemimpin Israel tentang butiran perjanjian gencatan senjata itu.
Sebelum ini, Netanyahu menyatakan bahawa perjanjian gencatan senjata yang telah lama ditunggu-tunggu terpaksa ditangguhkan kerana terdapat krisis pada saat akhir, lapor akhbar New York Post semalam. – AGENSI