fbpx

K2

Hukum guna kad diskaun berbayar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAD diskaun merupakan produk yang disediakan oleh sebahagian premis dan syarikat bagi membolehkan pemiliknya menikmati manfaat diskaun. – Gambar hiasan

TERDAPAT sebahagian kedai atau pasar raya yang menyediakan kad diskaun berbayar sama ada bayaran tersebut sekali sahaja atau berkala iaitu secara tahunan atau bulanan. Adakah penggunaan kad diskaun seperti ini diharuskan?

JAWAPAN: Kad diskaun merupakan satu produk yang disediakan oleh sebahagian premis dan syarikat perniagaan bagi membolehkan pemiliknya menikmati manfaat diskaun dengan peratusan tertentu apabila melakukan pembelian item-item di premis tertentu.

Ia merupakan salah satu cara untuk memasarkan produk dengan lebih meluas dan menarik ramai pelanggan tetap untuk berurus niaga di premis perniagaan tersebut.

Kad diskaun tidak semestinya berbentuk kad fizikal, bahkan terdapat pelbagai bentuk seperti langganan keahlian (membership) dan langganan bulanan yang memberi manfaat diskaun.

Terdapat beberapa jenis kad diskaun di pasaran seperti kad diskaun yang diberi oleh pihak penjual secara percuma atau selepas melepasi had pembelian tertentu.

Sebagai contoh, Ali mendaftar menjadi ahli (member) di farmasi A secara percuma yang memberi faedah diskaun lima peratus bagi setiap pembelian akan datang dengan hanya memberitahu nombor telefon.

Selain itu, ada penjual yang memberikan kad diskaun secara percuma kerana telah membeli dengan bayaran ditetapkan. Contohnya, Ali memperoleh kad diskaun daripada pasar raya A secara percuma kerana telah membeli barang melebihi RM300 di pasar raya tersebut.

Untuk kad jenis ini, ia adalah harus kerana dikira sebagai janji oleh pihak peniaga untuk memberi hibah kepada pelanggan dalam bentuk diskaun.

Sementara itu, jenis kad diskaun yang seterusnya adalah disediakan oleh pihak penjual sendiri dengan bayaran sama ada dibayar sekali sahaja atau berkala secara bulanan atau tahunan.

Sebagai contoh, Ali mendaftar sebagai ahli di kedai buku A dengan bayaran sebanyak RM15 pada awal pendaftaran. Dengan menjadi ahli, Ali mendapat diskaun 10 peratus dengan setiap pembelian barang di kedai buku tersebut.

Contoh seterusnya, Ali melanggan keahlian (membership) sebuah kedai dalam talian dengan bayaran RM5 sebulan. Keahlian tersebut memberi manfaat diskaun bagi semua barang atau barang-barang tertentu di kedai tersebut.

Bagi jenis kad seterusnya pula, ia disediakan oleh pihak ketiga secara berbayar yang memberi manfaat diskaun bagi pembelian di premis-premis tertentu.

Sebagai contoh, Ali melanggan kad diskaun daripada syarikat pelancongan A dengan bayaran RM200 setahun yang memberi diskaun untuk pembelian di beberapa hotel dan syarikat penerbangan terpilih.

Bagaimanapun, hukum penggunaan kad diskaun yang berbayar seperti jenis yang kedua dan ketiga telah menjadi isu diperselisihi ulama dan badan-badan fatwa kontemporari.

Hal ini kerana, terdapat beberapa isu syariah dalam penggunaan kad diskaun berbayar seperti isu ketidaktentuan (gharar) dan perjudian.

Antara prinsip asas dalam muamalat Islam adalah larangan daripada jual beli gharar berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang bermaksud: “Rasulullah SAW melarang daripada jual beli dengan membaling batu dan jual beli gharar.” (Riwayat Muslim)

Sementara itu, menurut Jabatan Fatwa Jordan, jika kad diskaun diperoleh dengan bayaran yang melebihi kos pengeluaran kad plastik tersebut atau secara yuran tahunan, hukumnya adalah haram sama ada ia dikeluarkan oleh peniaga atau pihak ketiga.

Berdasarkan penjelasan di atas, dapat difahami bahawa unsur gharar boleh dihilangkan jika kos dibayar oleh pelanggan merupakan kos sebenar yang ditanggung oleh syarikat pengeluar untuk mengeluarkan kad tersebut.

Kos sebenar ini termasuk kos pentadbiran seperti penyelenggaraan sistem pangkalan data dan sebagainya.

Hal ini kerana dalam keadaan ini, imbalan bagi kos yang dibayar oleh pelanggan diketahui dengan jelas tanpa kesamaran.

Kesimpulannya, hukum pengeluaran dan penggunaan kad diskaun yang berbayar adalah harus dengan syarat caj yang dikenakan mestilah pada kadar yang minimum tanpa mengambil untung daripada pengeluaran kad tersebut.

Pelanggan juga mestilah dimaklumkan dengan terma, syarat dan tempoh sah laku yang jelas.

Kad tersebut mestilah bukan mengandungi unsur perjudian, tidak menyediakan apa-apa manfaat dan ia patuh syariah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI