KUALA LUMPUR – Petinju profesional negara, Muhammad Farkhan Haron bertekad untuk menamatkan kariernya tinju dengan kejayaan paling indah apabila berhasrat untuk mempertahankan gelaran Bridgerweight Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia pada Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor 2025, bulan depan.
Farkhan yang telah berjuang lebih dua dekad dalam sukan tinju berkata, dia bakal berdepan tentangan sengit untuk mengekalkan rekod sempunra 13 kemenangan tanpa kalah apabila dijadual menentang pencabar dari India, Jaskaran Singh di Stadium Tertutup Arena Larkin di Johor Bahru, 16 Februari ini nanti.
“Ini adalah peluang terakhir saya untuk meninggalkan gelanggang dengan gelaran ini dan saya mahu tali pinggang Bridgerweight akan kekal di bumi Malaysia.
“Apapun, saya sudah bersedia secara fizikal dan mental walaupun berdepan kecederaan sebelum ini. Saya akan berjuang hingga ke akhir kerana telah telah menjalani latihan kira-kira empat bulan lalu untuk ke pentas ini.
“Saya akan menggunakan 10 pusingan dengan baik kerana saya tahu lawan yang saya akan berdepan ini cukup baik dalam gelanggang. Memang benar, api kemarahan penting untuk mencapai kemenangan, tetapi kita tidak boleh terlalu dikuasai emosi.
“Jangan terlalu yakin kerana ia boleh menjadi musuh dalam selimut. Sebab itu, tiga hingga lima hari sebelum bertanding, saya tidak keluar bertemu sesiapa, termasuk keluarga, untuk menjaga kestabilan emosi,” katanya ketika ditemui pada sesi sidang media di Wisma MOM, hari ini.
Sebagai rekod, Farkhan mula mencipta nama dalam arena tinju antarabangsa pada usia 16 tahun dan turut meraih gelaran dalam kategori Kelas Cruiserweight Persatuan Tinju Dunia (WBA) dan Kelas Light Heavyweight WBC. -KOSMO! ONLINE