fbpx

EPL: Isak istimewa buat Newcastle

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISAK (kiri) sudah meledak 17 gol musim ini termasuk dua jaringan menewaskan Wolves awal pagi semalam. - NUFC

NEWCASTLE – Newcastle United melonjak ke kedudukan keempat dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Wolverhampton Wanderers 3-0 pada perlawanan di St. James Park awal pagi semalam.

Kemenangan itu menyaksikan penyerang, Alexander Isak mengekalkan rekod cemerlang dengan menjaringkan gol dalam lapan perlawanan berturut-turut menerusi dua jaringan yang dilakukan, manakala satu lagi dijaringkan Anthony Gordon.

Ia menyaksikan Isak yang kini sudah mengumpul 17 jaringan musim ini, menyertai Jamie Vardy dari Leicester City, Ruud van Nistelrooy (Manchester United) dan Daniel Sturridge (Liverpool) berjaya meledak gol dalam lapan perlawanan EPL berturut-turut.

Bagaimanapun, pengurus Newcastle, Eddie Howe masih belum berpuas hati dengan kemenangan itu kerana menganggap mereka agak bergelut untuk menghasilkan jaringan pertama walaupun menguasai permainan.

“Pada perlawanan hari ini (semalam), kami terpaksa bermain dengan cara berbeza dan lebih sabar. Kami lebih banyak memegang bola di separuh masa pertama tetapi sukar menjaringkan gol kerana Wolves sangat degil.

“Saya fikir gol pertama itu boleh dianggap sebagai nasib, namun selepas itu kami bermain seperti biasa dan layak untuk menambah jaringan. Saya gembira kerana ini adalah kemenangan kesembilan berturut-turut,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memuji ketajaman yang dipamerkan Isak ketika berada di hadapan gol selain menganggap penyerang Sweden itu merupakan salah seorang penggempur terbaik di dunia.

“Ketenangan serta penyudah yang dimiliki merupakan satu kelebihan untuk Isak. Dia sentiasa menampilkan aksi pada tahap tertinggi, sama seperti yang ada dalam diri penyerang-penyerang terbaik,” ujar Howe. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI