PETALING JAYA – Sentiasa memberi tauladan yang baik, selebriti juga usahawan, Neelofa sekali lagi menjadi bualan ramai apabila doa jodoh yang diamalkannya sebelum berkahwin dengan penceramah bebas, Haris Ismail atau PU Riz tular dalam media sosial.
Menurut Neelofa atau nama penuhnya Noor Neelofa Mohd Noor, 36, dia pernah memohon ciri-ciri jodoh secara terperinci kepada Allah SWT namun menukar doa tersebut dengan bacaan yang lebih ringkas.
“Macam saya dahulu, setiap kali berdoa tentang jodoh, pasti minta secara terperinci. Dahulu saya nak minta kriteria yang macam ini, macam itu. Tapi dapat macam ini (suaminya, Haris Ismail)
“Tapi sebelum saya jumpa suami, saya amalkan doa ini, ‘Ya Allah, berikanlah aku jodoh yang terbaik disisiMu untuk aku’.
“Itulah doanya. Sangat ringkas dan padat dan kena konsisten,” katanya.
Sementara, dalam ruangan komen, terdapat netizen mengakui doa tersebut membantu mereka mendapat jodoh yang baik dan seperti diidamkan.
Malah, ramai juga yang teruja dengan perkongsian tersebut dan berharap dipertemukan jodoh secepat mungkin.
“Ya, saya juga amalkan doa yang sama. Doakan saya kahwin tahun ini.
“Saya pun berdoa begini dulu dan alhamdulillah Tuhan beri jodoh yang baik,” komen netizen.
Tidak kurang juga netizen berseloroh agar Neelofa memberi doa tersebut kepada adik perempuannya, Ameera Khan yang kini hangat bercinta dengan aktor Indonesia, Jefri Nichol.
Terdahulu, Neelofa dan Haris selamat mendirilan rumah tangga pada 27 Mac 2021 di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Muhammad Bilal, 4, dan Abdullah Abbas kini berusia dua tahun. – KOSMO! ONLINE