PETALING JAYA – Dituduh murtad dan Islam liberal gara-gara menyusukan anak babi, pempengaruh Imran Bard menganggap dakwaan netizen terlalu biadab.
Imran atau nama sebenarnya Muhammad Al Imran Badaruddin, 24, berasa sangat tertekan sekali gus mendapatkan pandangan agamawan berhubung perkara itu.
“Saya anggap itu satu pengalaman unik dan indah, jadi saya ambil gambar sebagai kenangan. Foto tersebut ‘triggered’ ramai orang Melayu yang bagi komen tidak beradab. Saya dilabel murtad bahkan ada yang kata saya liberal.
“Saya juga sudah merujuk seorang ustaz kerana saya sangat ‘down’ dituduh murtad. Ustaz itu kata tidak dosa kerana saya cuma bagi susu, bukan sentuh atau makan.
“Kalau tersentuh pun masih boleh samak, tiada yang salah. Apa yang saya buat tak salah dari sudut Islam, tapi salah dalam kalangan masyarakat Melayu,” katanya dalam TikTok.
Imran berkata, dia juga hairan dengan kenyataan yang mendakwa dirinya sengaja membuka ruang fitnah dengan memuatnaik foto sedemikian.
“Saya buka ruang fitnah? Bila difikirkan semula, saya tidak sentuh atau peluk babi tersebut sebab saya tahu haiwan itu haram. Binatang itu ciptaan Allah, saya hanya susukan dia.
“Sekali pun saya buka ruang fitnah, tapi itu bukan peluang anda untuk menjatuhkan fitnah terhadap saya. Fitnah itu lebih berdosa daripada membunuh,” ujarnya.
Bercerita lebih lanjut, anak muda asal Melaka itu berkata sebagai seorang Muslim dia memahami halal haram serta mengikut batasan agama.
“Isu saya susukan babi, netizen di Malaysia melampui batas. Saya pergi ke sebuah ladang di Thailand dan bayaran masuk adalah 100 bhat, kemudian dapat sebotol susu.
“Dalam kandang tersebut ada kambing dan babi, saya hulur susu yang datang babi bukan kambing. Saya rasa anak babi itu comel dan saya tidak pernah menyusukan babi,” ulasnya.
Terdahulu, video dalam Instagramnya menunjukkan beberapa foto dan video percutian, termasuk lawatan di sebuah ladang babi di negara jiran tersebut.
Imran kemudian menyusukan beberapa ekor anak babi yang berada di dalam kandang namun perkongsian dilakukan mengundang pelbagai reaksi.
Antara teguran adalah tindakan dikatakan kurang sensitif yang semata-mata ingin meningkatkan lagi jumlah pengikutnya yang kini sudah mencegah 774,000. – KOSMO! ONLINE