PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) melaporkan hujan lebat dan angin kencang di enam negeri sehingga pukul 8 malam ini.
MetMalaysia memaklumkan negeri yang terjejas dengan cuaca buruk itu adalah Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Di Pahang, kawasan terjejas termasuk Bentong, Bera, Pekan dan Rompin. Di Selangor, hujan lebat serta ribut petir melanda Klang dan Kuala Langat,” katanya.
Bagi Negeri Sembilan, cuaca buruk memberi kesan kepada kawasan Jelebu dan Jempol.
Sementara itu, di Sarawak, kawasan yang terlibat adalah Miri dan Limbang.
“Sabah turut tidak terkecuali daripada ribut petir yang melanda kawasan Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort dan Keningau) dan Pantai Barat (Papar),” tambahnya.
Bukan itu sahaja, di Wilayah Persekutuan Labuan, keseluruhan kawasan mengalami cuaca yang tidak menentu.
Penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan untuk berwaspada terhadap risiko banjir kilat, pokok tumbang dan kerosakan harta benda akibat angin kencang.
Orang ramai turut disarankan untuk menangguhkan aktiviti luar dan mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang tempoh cuaca tidak menentu ini. – KOSMO! ONLINE