fbpx

K2

Cara atasi masalah anak lambat bercakap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DAPATKAN bantuan pakar untuk membantu anak-anak yang mempunyai masalah speech delay. – GAMBAR HIASAN

ANAK-ANAK yang mengalami masalah lambat bercakap atau speech delay pasti menjadi kerisauan ibu bapa. Apatah lagi, jika melihat kanak-kanak seusianya sudah boleh bercakap dengan lancar.

Keadaan menjadi lebih kritikal jika ibu bapa itu  baru pertama kali mempunyai anak mengalami masalah lambat bercakap. Pastinya, pelbagai persoalan akan muncul di minda dan kerisauan tentang masa depan si cilik itu.

Kajian menunjukkan 10 hingga 15 peratus kanak-kanak berumur dua tahun mengalami masalah kelewatan pertuturan.

Kebolehan bertutur dan bahasa yang dikuasai oleh seorang kanak-kanak dilihat sebagai salah satu pencapaian penting dalam fasa perkembangan kehidupan mereka.  

Sebenarnya, ibu bapa boleh melakukan beberapa langkah untuk membantu anak-anak supaya cepat bercakap. Jadi minggu ini, K-Wanita menyenaraikan beberapa langkah mudah supaya anak tidak mengalami masalah speech delay.

1. Berikan anak masa, jangan paksa

JANGAN terlalu memaksa sehingga membuatkan anak anda berasa stres, buntu dan keliru. Ini kerana perkembangan setiap anak adalah berbeza. 

Cuba bawa bertenang, jangan paksa mereka untuk bercakap dengan kosa kata yang banyak.

Beri ruang kepada mereka untuk mempelajari sedikit demi sedikit. 

Jangan longgokkan semua perkataan serta frasa dalam masa yang sama. 

Seperkara lagi, ibu bapa juga perlu mengelak bertanya terlalu banyak soalan sehingga membuatkan mereka keliru, sebaliknya guna ayat penyata. 

Ada kalanya, penting untuk kita berdiam diri dan beri ruang kepada anak-anak untuk memproses setiap maklumat.

2. Kaedah self talk 

SALAH satu cara berkesan untuk membantu anak-anak yang mengalami masalah speech delay adalah dengan menggunakan kaedah bercakap dengan diri sendiri (self talk). Jadi, ibu bapa perlu menceritakan perbuatan yang dilakukan kepada anak.

Sebagai contoh, anda sedang memasak, ceritakan perbuatan tersebut dan prosesnya kepada anak.

Ia bagi membantu menambah kosa kata dan membentuk perkataan menjadi ayat, sekali gus meningkatkan kemahiran pertuturan anak-anak.

Contohnya, “Mama sedang memasak nasi. Mama menggoreng ikan”. Kaedah self talk boleh dilakukan di mana-mana sahaja dan sangat berkesan membantu anak  lambat bercakap.

PENGGUNAAN gajet berlebihan melambatkan lagi masalah anak lambat bercakap. – GAMBAR HIASAN

3. Kurangkan gajet

PENGGUNAAN gajet berlebihan memburukkan lagi masalah anak lambat bercakap, maka ibu bapa perlu bijak menetapkan masa supaya anak-anak tidak ketagihan peranti tersebut sehingga menjejaskan kemahiran pertuturannya.

Penting juga untuk ibu bapa mengawasi anak-anak ketika bermain gajet dan jangan sesekali membiarkan mereka bermain seorang diri.

Selain itu, ibu bapa perlu meluangkan masa bermain dan berkomunikasi dengan anak-anak bagi menggalakkan mereka bercakap serta mengasah kemahiran bertutur.

4. Menyanyi dan membaca buku cerita 

MENYANYI merupakan aktiviti menghiburkan, di mana ia boleh dilakukan bersama anak-anak. Pada masa sama, ia membantu mereka mempelajari perkataan baharu.

Aktiviti menyanyi juga dapat membantu membina kemahiran mendengar dan menguatkan memori anak-anak apabila menghafal setiap lirik lagu.

Selain itu, ibu bapa boleh membacakan buku cerita kepada anak-anak bagi membantu mereka menambah perkataan dalam cara yang sangat menarik.

IBU bapa digalakkan membaca buku cerita kepada anak-anak bagi menambah kosa kata mereka. – GAMBAR HIASAN

5. Ajar anak panjangkan ayat

SETELAH melihat jumlah kosa kata anak-anak yang semakin berkembang, ibu bapa perlu membantu mereka untuk membina ayat dan memanjangkannya. Sebagai contoh, perkataan ‘bunga’, “Wah, bunga ini sangat cantik”.

Kepekaan ibu bapa membuatkan anak-anak semakin teruja untuk bercakap dan menjadi lebih berani berkomunikasi.

Meskipun teruja dengan perkembangan anak-anak, namun ibu bapa jangan pula terus bercakap dengan ayat yang panjang sekali gus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI