PETALING JAYA – Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menjatuhkan hukuman denda terhadap kelab Selangor FC dan bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa atas kesalahan yang dilakukan pada saingan berprestij Asia musim ini.
Jawatankuasa Disiplin dan Etika yang melakukan mesyuarat pada awal minggu ini memutuskan skuad Gergasi Merahdikenakan denda keseluruhan sebanyak AS$24,500 (RM110,000).
Jumlah denda tersebut melibatkan tiga kesalahan ketika aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) menentang Jeonbuk Hyundai Motors FC di Stadium MB Petaling Jaya pada 23 Oktober tahun lalu.
Antara hukuman tersebut diberikan adalah berpunca daripada tindakan penyokong menayangkan kain rentang mengandungi unsur yang dilarang dan kegagalan pihak pengurusan Selangor menghalang kejadian tersebut daripada berlaku.
Kesalahan ketiga melibatkan tindakan pasukan Merah Kuning yang menyebabkan berlaku kelewatan kepada permulaan aksi separuh masa kedua dalam perlawanan itu.
Bagi kesalahan pertama dan kedua, Selangor FC diperintah membayar denda sebanyak AS$15,000 (RM67,000) dan AS$7,500 (RM34,000) kerana melanggar Perkara 65.1 serta Perkara 64.1 Kod Tatatertib dan Etika AFC.
Kesalahan ketiga pula menyaksikan Gergasi Merah dikenakan denda sebanyak AS$2,000 (RM9,000) kerana melanggar Artikel 2.2 Manual Operasi Pertandingan AFC.
Sementara itu, Natxo dihukum susulan kenyataannya terhadap pengadil selepas aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang Shandong Taishan pada 26 November lepas.
Natxo dikenakan hukuman denda AS$5,000 (RM22,000) kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Perkara 50.1 Kod Tatatertib dan Etika AFC.
Denda tersebut perlu diselesaikan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan berkenaan mengikut Perkara 11.3 Tatatertib dan Kod Etika AFC dan hukuman berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama. – KOSMO! ONLINE