PUTRAJAYA – Sebanyak 86.9 peratus kes pembuangan kerja berjaya diselesaikan Mahkamah Perusahaan bagi tempoh 2019 hingga 2023, sekali gus merekodkan peratus tertinggi dalam kategori kes berkenaan.
Dapatan itu diperoleh Jabatan Perangkaan (DOSM) menerusi satu kajian berkenaan pengurusan kes di Mahkamah Perusahaan Malaysia (MPM) yang dijalankan dari 8 Februari hingga 31 Disember 2024 lalu.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, sebanyak 53,024 data kes diterima daripada pihak Mahkamah Perusahaan bagi tempoh lima tahun bermula dari tahun 2019 sehingga Disember 2023.
“Kes-kes diliputi dalam kajian ini merangkumi data bagi kes selesai, kes belum selesai, penyelesaian melalui kaedah mediasi, perjanjian kolektif dan keputusan (award) yang dikeluarkan,” katanya pada sidang akhbar pada majlis pelancaran dapatan itu di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, kategori kedua tertinggi ialah ketidakpatuhan keputusan dan perjanjian kolektif iaitu sebanyak 9.74 peratus.
Katanya, bagi kategori kes lain seperti perjanjian perubahan dan tafsiran ‘award’, jumlahnya adalah kecil iaitu di antara 0.04 peratus sehingga 1.62 peratus.
“Lima negeri tertinggi mencatatkan peratusan penyelesaian kes tertinggi bagi tempoh lima tahun pula ini ialah Selangor (47.61 peratus), Kuala Lumpur (17.82 peratus) dan Johor (6.66 peratus).
Pulau Pinang pula merekodkan sebanyak 5.81 peratus dan Perak dengan nilai 4.63 peratus.
“Kajian ini juga mendapati bahawa pengadu lelaki merupakan kumpulan pengadu tertinggi yang terlibat dalam kes pembuangan kerja iaitu
sebanyak 72.99 peratus berbanding pengadu perempuan iaitu sebanyak 27.01 peratus.
“Daripada penglibatan kesatuan sekerja dan majikan pula, sebanyak 77.78 peratus kesatuan sekerja telah terlibat dalam penyelesaian kes di Mahkamah Perusahaan Malaysia selain sebanyak 22.22 peratus merupakan daripada pihak majikan,” katanya.
Bagi perjanjian kolektif pula, sektor pembuatan merupakan sektor tertinggi yang terlibat dalam penyelesaian kes berkaitan perjanjian kolektif iaitu sebanyak 59.34 peratus.
Ia diikuti dengan pengangkutan dan penyimpanan (8.3 peratus) serta aktiviti kewangan dan insurans atau takaful iaitu sebanyak 6.76 peratus.
Selain itu, dapatan kajian juga menunjukkan bahawa sebanyak 96.71 peratus jenis permohonan perjanjian kolektif yang diterima di Mahkamah Perusahaan Malaysia adalah yang diperbaharui manakala 3.29 peratus yang baharu. – KOSMO! ONLINE