PETALING JAYA – Bekas model dan usahawan Zahnita Wilson tidak dapat menahan sebak apabila melihat perubahan ketara pada bahagian giginya selepas mendapatkan rawatan di sebuah klinik pergigian di Kuantan, Pahang baru-baru ini.
Menerusi perkongsian Instagram akaun rasmi klinik gigi tersebut, mereka berpeluang untuk memberikan semula senyuman kepada Zahnita melalui beberapa rawatan yang telah dilakukan termasuk pemutihan dan pemasangan sarung gigi atau veneer.
“Baru-baru ini kami berpeluang membantu seorang insan untuk mendapatkan senyumannya semula.
“Pemulihan gigi bukan hanya mengenai penampilan tetapi bagi mendapatkan semula keyakinan, mengatasi cabaran dan permulaan baharu.
“Tidak kira apa yang telah anda lalui, senyuman anda layak untuk bersinar seperti anda,” katanya.
Perkongsian tersebut turut membuatkan netizen rasa sebak melihat perubahan pada gigi Zahnita dan mendoakan agar pelakon berusia 39 tahun itu mendapat kehidupan yang lebih baik kelak.
“Dulu nak uruskan gigi pun tak sempat, sekarang senyuman sudah cantik.
“Melihat dia menangis terharu dan memeluk doktor sudah cukup untuk memberi bayangan tentang hidupnya sebelum ini.
“Masya-Allah terus berseri-seri wajah Zahnita. Cantik macam zaman berlakon filem,” komen netizen.
Sebelum ini, Zahnita mula menyorot perhatian ramai dan mengejutkan industri hiburan selepas berkongsi foto matanya dalam keadaan lebam dengan mendakwa kecederaan itu berlaku kerana dipukul oleh suaminya, Abdul Zackery Ghouse.
Tidak tahan menjadi mangsa keganasan rumah tangga, dia kemudiannya memfailkan perceraian pada awal Disember tahun lalu.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2005 dan dikurniakan empat cahaya mata. – KOSMO! ONLINE