LOS ANGELES, CALIFORNIA – Penduduk California Selatan berada dalam ‘situasi terutamanya berbahaya’ susulan tiupan angin kencang kekal seperti ramalan sedangkan kebakaran hutan terus marak, lapor agensi berita United Press International semalam.
Setakat semalam kira-kira 88,000 warga California masih berada di bawah arahan perpindahan dengan hampir 85,000 lagi dikenakan amaran supaya berpindah, lapor saluran berita NBC Los Angeles.
Kelajuan angin dijangka paling kuat pada waktu petang di barat dan utara Los Angeles, sebahagian besarnya di kawasan pergunungan dengan tiupan angin mencecah kelajuan 112 kilometer sejam.
Meskipun angin kencang berisiko menjadi punca kebakaran hutan seterusnya, tiupan angin akan mula reda pada waktu malam.
Tahap kelembapan udara diramal meningkat dan akan menyaksikan sedikit hujan di selatan California.
Bermula Rabu hingga Sabtu ini, angin Santa Ana yang lebih kuat diramal tiba dengan kebarangkalian 40 peratus hingga 60 peratus, demikian menurut Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan.
Setakat ini, kebakaran Hurst telah memusnahkan kira-kira 323 hektar kawasan, namun 97 peratus api dapat dikawal.
Kebakaran marak di Palisades dan Eaton pula membakar kawasan seluas 15,782 hektar.
Kira-kira 45 peratus kebakaran Eaton berjaya dikawal, manakala kebakaran Palisades hanya dikawal 19 peratus. – AGENSI