RANTAU PANJANG – Kegiatan seorang wanita yang dipercayai terlibat dengan kegiatan menyeludup dan menjual pelbagai jenis buah-buahan dari Thailand sejak lima tahun lalu terhenti apabila dia dicekup di tepi jalan di Kampung Gual Periok di sini semalam.
Wanita warga Thailand itu ditahan oleh anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira pukul 5.30 petang semasa sedang memandu sebuah van jenis Ford Econovan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, kenderaan tersebut didapati dipandu dalam keadaan mencurigakan semasa anggota PGA menjalankan tugas menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam van itu menjumpai pelbagai jenis buah-buahan dipercayai diseludup dari Thailand apabila ia tiada sebarang dokumen sah.
“Buah-buahan yang ditemukan di dalam van itu adalah limau, tembikai susu, kundang, jambu batu dan bidara yang dianggarkan bernilai RM9,940.
“Siasatan mendapati, kesemua buah itu diambil dari Thailand sebelum ia diseludup ke negara ini melalui pangkalan haram Kak Mah, Lubok Gong di sini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, wanita itu juga disyaki berperanan sebagai penyeludup dan penjual buah-buahan di sekitar Pasir Mas termasuk di kawasan Kota Bharu dekat sini.
Menurutnya, siasatan lanjut turut mendapati, wanita itu dipercayai terlibat dengan kegiatan penyeludupan dan menjual buah-buahan sejak lima tahun lalu.
“Pekerjaan sebagai penyeludup dan penjual buah itu merupakan punca pendapatan utamanya. Suspek dan kesemua barangan rampasan dibawa ke kompeni taktikal Taman Bakti di sini untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167) Seksyen 5. – KOSMO! ONLINE