KUALA LUMPUR – Mengeksploitasi kanak-kanak disyaki modus operandi sindiket pengemis bagi mengaut keuntungan sehingga RM3,000 sehari di sekitar Bukit Bintang, di sini dan Klang, Selangor.
Kegiatan itu berjaya dibongkar Bahagian D3 (Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran – ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menerusi Op Pintas Khas, kelmarin.
Ketua Penolong Pengarah, D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam operasi itu, polis menahan seramai lapan suspek yang disyaki ahli sindiket.
“Suspek disyaki kumpulan penjenayah yang mengeksploitasi kanak-kanak bagi tujuan mengemis dipercayai aktif sejak September 2024 hingga kini.
“Kesemua suspek merupakan warga Yaman iaitu enam lelaki dan dua wanita berusia antara 21 hingga 30 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kumpulan berkenaan akan mula mengemis dan meminta sedekah secara berkumpulan bermula pukul 6 petang hingga 3 pagi.
“Sindiket berkenaan dianggarkan mampu mengaut keuntungan kira-kira RM2,500 hingga RM3,000 setiap hari,” jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, polis turut berjaya menyelamatkan tujuh mangsa pemerdagangan manusia warga Yaman yang merupakan kanak-kanak di bawah umur.
Soffian berkata, ia melibatkan tujuh kanak-kanak lelaki berusia lingkungan satu bulan hingga 16 tahun manakala seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.
“Kesemua mangsa diselamatkan mengikut Seksyen 44(1) Akta ATIPSOM 2007 (Akta 670) manakala tindakan ke atas lapan suspek mengikut Seksyen 14 Akta ATIPSOM 2007,” katanya. – KOSMO! ONLINE