KUALA LUMPUR – Semua tujuh pertuduhan yang dihadapi Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin digabung dan akan dibicarakan secara bersama di Mahkamah Sesyen di sini.
Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk ketujuh-tujuh kes yang dihadapi Muhyiddin dibicarakan secara bersama.
Dalam penghakiman ringkasnya, Hakim Azura berkata permohonan pendakwaan memenuhi kriteria selain telah meneliti afidavit serta hujahan lisan pihak-pihak.
“Pada tahap ini berdasarkan pertuduhan-pertuduhan yang terdapat dalam kes-kes tersebut dan pendirian yang telah dinyatakan pendakwaan mahkamah berpuas hati bahawa keperluan sebagaimana peruntukkan dalam Seksyen 165 Kanun Tatacara Jenayah telah dipenuhi bagi membolehkan kes-kes digabungkan dan dibicarakan sekali.
“Ini juga dapat memastikan keadilan pada semua kerana ia menjimatkan masa semua pihak dan mengelakkan kesukaran terutamanya pada saksi-saksi yang sama,” kata Hakim Azura.
Penghakiman lanjut turut menyatakan, mahkamah turut berpendapat tiada sebarang prejudis akan berlaku pada pihak tertuduh dengan penggabungan perbicaran ini.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Muhyiddin diwakili peguam-peguam Amer Hamzah Arshad dan Datuk K.Kumaraendran.
Semasa prosiding, Wan Shahruddin memaklumkan akan memanggil 30 saksi bagi perbicaraan kes ini.
Justeru mahkamah kemudian menetapkan 18 Februari ini bagi pengurusan kes seterusnya dan pada tarikh itu mahkamah akan menetapkan tarikh-tarikh bagi perbicaraan.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Muhyiddin, 78, didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk suapan masing-masing RM200 juta, RM1 juta, RM19.5 juta dan RM12 Juta, kesemuanya berjumlah RM232.5 juta yang diterima daripada tiga buah syarikat dan seorang individu bagi pihak Bersatu.
Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Muhyiddin turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram (AMLA) berjumlah RM195 juta yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Februari dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.
Ahli Parlimen Pagoh itu juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor pada 13 Mac 2023 atas satu pertuduhan AMLA berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini.
Sebelum ini pada 28 Februari tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama-sama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S.M. Komathy Suppiah memutuskan agar keempat-empat pertuduhan itu ‘dihidupkan semula’ selepas membenarkan rayuan pendakwaan.
Ia selepas Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah terkhilaf apabila membatalkan kesemua pertuduhan itu. – KOSMO! ONLINE