KUALA LUMPUR – Memperdaya mangsa dengan menghantar dokumen amaran palsu yang mempunyai Jata Negara serta logo Badan Peguam Malaysia dan nama Ketua Polis Negara, merupakan antara modus operandi sindiket yang berjaya dikesan polis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan menerima selepas menerima satu laporan berhubung perkara itu pada 14 Januari lalu.
Katanya, dokumen palsu itu berupa amaran bertajuk “Kebenaran” yang dikeluarkan oleh “Pejabat Pusat Memerangi Jenayah Berkaitan Teknologi Maklumat dan Komunikasi”.
“Kandungan dokumen tersebut memaklumkan bahawa penerimanya terlibat dalam beberapa prosiding undang-undang kerana memiliki imej pornografi kanak-kanak.
“Penerima dokumen tersebut juga dikehendaki menghubungi pihak yang mengeluarkan dokumen
tersebut dengan segera atau waran tangkap akan dikeluarkan terhadap mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ramli, hasil penelitian dokumen tersebut turut memaparkan Jata Negara serta logo Badan Peguam Malaysia dan ditandatangani oleh penama yang hampir sama dengan Ketua Polis Negara namun menggunakan jawatan yang berbeza.
“Adalah dimaklumkan, semua perkara yang dinyatakan di dalam dokumen tersebut merangkumi maklumat prosiding jenayah, jabatan yang digunakan serta nama penandatangan adalah palsu.
“Dokumen sedemikian tidak dikeluarkan oleh mana-mana jabatan kerajaan,” tegasnya.
Susulan itu, siasatan di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan sedang dijalankan.
“Justeru, adalah diingatkan kepada sesiapa yang telah menerima dokumen sedemikian sama ada secara fizikal, emel, mesej WhatsApp atau apa cara sekalipun, sila abaikan dan jangan beri sebarang respon kepada penggedarnya kerana kandungan dokumen tersebut adalah palsu.
“Polis Diraja Malaysia percaya dokumen tersebut telah dicipta dengan tujuan untuk menimbulkan kebimbangan kepada penerima dan seterusnya menjerat mereka menjadi mangsa penipuan atau pemerasan,” ujarnya.
Selain itu, beliau menggesa mana-mana individu yang mungkin menjadi mangsa akibat mempercayai kandungan dokumen tersebut agar tampil membuat laporan polis untuk siasatan lanjut. -KOSMO! ONLINE.