DITIKAM enam kali di rumah sendiri, pelakon terkenal Bollywood, Saif Ali Khan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan di Hospital Lilavati, India.
Memetik laporan media India, Pegawai Eksekutif hospital berkenaan Niraj Uttamani berkata, terdapat objek asing (bahagian pisau yang patah) ditemui berhampiran tulang belakang pelakon itu dan sudah diserahkan kepada pegawai polis selepas pembedahan dijalankan.
Saif juga dipindahkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemantauan doktor selama satu hari.
Pelakon filem Hum Saath-Saath Hain itu juga mengalami beberapa kesan tikaman dalam serangan di rumahnya awal pagi tadi.
Begitupun, kesemua ahli keluarganya berada dalam keadaan selamat.
Menurut Pegawai Jabatan Forensik, kejadian yang menggemparkan seluruh industri perfileman Bollywood itu masih di bawah siasatan polis.
Kami sudah mengumpul cap jari dari tempat kejadian dan selepas ini pegawai kanan akan memberi taklimat.
“Anjing penghidu turut dibawa ke tempat kejadian untuk mengesan penceroboh yang melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Awal pagi tadi, dunia hiburan Bollywood dikejutkan dengan berita suami kepada pelakon Kareena Kapoor yang ditikam perompak dalam kejadian yang berlaku di rumahnya.
Kediaman aktor itu dipecah masuk perompak kira-kira pukul 2.30 pagi (waktu tempatan) ketika dia sedang tidur bersama anak-anaknya, Taimur dan Jeh.
Sewaktu kejadian, Kareena tidak berada di rumah kerana keluar bersama kakaknya Karisma Kapoor dan pelakon, Sonam Kapoor. – KOSMO! ONLINE