STOCKHOLM – Seorang pelagak ngeri Sweden memecah Guinness World Records selepas melakukan aksi ‘wheelie’ sambil duduk di atas bar hendal pada kelajuan 202.67 kilometer sejam, lapor agensi berita United Press kelmarin.
Magnus Carlsson, 51, mencatatkan rekod dunia untuk aksi bar hendal ‘wheelie’ terpantas menggunakan motosikal jenama KTM 1290 Super Duke.
Percubaan itu dilakukan di Lapangan Terbang Skovde, Sweden.
Pencapaian itu mengatasi rekod sebelumnya yang dicatatkan pada 2020 dengan kelajuan mencecah 175.78 kilometer sejam.
“Bar hendal ‘wheelie’ merupakan aksi kegemaran saya dan sepanjang kerjaya sebagai seorang pelumba lagak ngeri.
“Memandangkan terdapat beberapa rekod dunia dibuat dan didokumentasikan oleh Guinness World Records, saya mahu memecahkan rekod ini sementara saya masih mempunyai motosikal dan kemahiran,” tambah Carlsson. – AGENSI