KULAI – Kerja-kerja pelebaran laluan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) melibatkan laluan Sedenak-Kulai di sini akan dihenti sementara bermula 23 Januari hingga 3 Februari ini sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, arahan ‘stop work order’ itu bertujuan memastikan kelancaran trafik di laluan berkenaan sepanjang tempoh perayaan tersebut.
Katanya, ketika ini kerja-kerja pelebaran Fasa 1 telah memasuki tahap perkembangan 5.02 peratus sejak ia dimulakan pada Julai tahun lalu.
“Kerja-kerja menambah lorong daripada dua lorong sehala kepada tiga lorong sehala berjalan lancar, tiada sebarang isu termasuk keperluan mengambil tanah di dua-dua belah kerana keluasan mencukupi.
“Ketika ini, kerja-kerja yang dilakukan adalah melibatkan kerja-kerja tanah, pemotongan dan tambakan cerun, struktur perparitan, pengalihan utiliti serta pelan pengurusan trafik.
“Sepanjang kerja-kerja ini dimulakan, kedua-dua lorong sedia ada tetap dibuka dan boleh digunakan pengguna lebuhraya, jadi semuanya lancar,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak projek di sini, hari ini.
Sementara itu, Alexander turut memberitahu, keseluruhan kerja-kerja pembinaan lorong tambahan berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada suku kedua tahun 2027.-KOSMO! ONLINE