JAKARTA – Sebuah motosikal yang dicuri oleh dua lelaki dibakar penduduk setempat dalam satu aksi kejar-mengejar, lapor laman berita Indozone kelmarin.
Kejadian berlaku di Kampung Pondokdalem, Jember, wilayah Jawa Timur pada Isnin lalu.
Dalam insiden tersebut, berpuluh-puluh penduduk kampung pada awalnya mengejar dua pencuri itu yang melarikan sebuah motosikal jenis Honda Vario.
“Mereka dikejar oleh sekumpulan lelaki bermotosikal dari arah timur. Ketika aksi kejar-mengejar itu, dua pencuri tersebut terjatuh ke atas jalan,” kata seorang saksi yang dikenali sebagai Rosyid.
Tambah Rosyid, dua lelaki itu dengan segera melarikan diri ke arah kawasan kebun tebu dan meninggalkan motosikal tersebut.
Katanya ,penduduk yang berang kemudian terus membakar motosikal yang ditinggalkan.
Ketua Polis Semboro, Inspektor Pertama Andrias Suryo Rubedo berkata: “Motosikal yang dibakar itu adalah hasil pencurian. Nombor pendaftarannya dipercayai palsu.” – AGENSI