fbpx

Mercu tanda baharu bernilai RM300,000 dikecam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tugu Pesut Mahakam - Tribun Kaltim

JAKARTA – Sebuah monumen yang menjadi mercu tanda baharu Bandar Samarinda, wilayah Kalimantan Timur menjadi kecaman pengguna media sosial kerana reka bentuknya yang dianggap aneh meskipun dihasilkan dengan kos sebanyak 1.1 bilion rupiah (RM300,000), lapor laman berita Tribunnews semalam.

Mercu tanda dinamakan Tugu Pesut Mahakam itu terletak di persimpangan pusat beli-belah Lembuswana Mall, di antara Jalan Ahmad Yani dan Jalan Cipto Mangunkusumo.

Tugu berwarna merah setinggi 8 meter itu diperbuat daripada binaan keluli dan ditutup dengan kabel plastik kitar semula.

Inspirasi reka bentuk monumen tersebut menggambarkan siluet ikan lumba-lumba (pesut) Mahakam iaitu mamalia air tawar di Sungai Mahakam yang hampir pupus.

Namun, binaannya menerima banyak kecaman daripada pengguna media sosial yang mempersoalkan tentang kosnya selain reka bentuknya disifatkan aneh.

“Bagi saya, lebih baik jika ikon Kalimantan dibina secara jelas bentuknya. Biar ia kelihatan jelas seperti ikan lumba-lumba Mahakam,” kata seorang netizen.

“Pada awalnya saya sangkakan ia hanya garisan biasa. Rupa-rupanya pesut,” kata pengguna media sosial lain.

Menjelaskan keadaan itu, Pegawai Pembuat Komitmen (PPK) Badan Kerja Raya dan Perancangan Ruang Samarinda, Uwim Mursalim berkata, sebelum pembinaan dimulakan, terdapat sekurang-kurangnya tiga reka bentuk diserahkan oleh pasukan perancang kepada Datuk Bandar Samarinda, Andi Harun.

Katanya, reka bentuk yang akhirnya dipilih adalah reka bentuk monumen yang kini berdiri megah itu.

“Projek pembinaan tugu pesut dibiayai menerusi Anggaran Pendapatan dan Perbelanjaan Wilayah 2024 dengan anggaran keseluruhan 1.1 bilion rupiah.

“Selain pembinaan monumen baharu, kawasan sekitar turut dicantikkan dengan lampu sorot, laluan pejalan kaki dan kawasan hijau,” jelasnya. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI