Mentawai di Indonesia terdiri daripada empat pulau utama yang berpenghuni iaitu pulau Siberut, Sipora, Pagai Utara dan Pagai Selatan. Pulau-pulau ini majoritinya dihuni oleh suku Mentawai dan peratusan kecil suku Minangkabau.
Selain terkenal sebagai destinasi pelancongan, ia juga merupakan destinasi bagi kaki pancing dan peminat sukan luncur air (surfing) dari seluruh dunia.
Borneo ke Mentawai
Perjalanan kami bermula dengan penerbangan dari Kuching ke Kuala Lumpur. Penerbangan seterusnya dari Kuala Lumpur ke Kota Padang yang mengambil masa 1 jam 10 minit sahaja.
Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau, Kota Padang, kami telah dijemput oleh rakan pancing berasal Kota Padang iaitu Iwan yang akan menemani kami sepanjang memancing di Mentawai nanti.
Destinasi pancingan kami kali ini adalah di sekitar Pulau Sipora iaitu salah satu pulau di gugusan kepulauan Mentawai.
Sebelum ke hotel, kami sempat singgah di restoran Lamun Ombak yang terkenal dengan masakan nasi padangnya. Keesokan paginya kami langsung menuju ke pelabuhan kerana feri MV Mentawai Fast akan bergerak seawal jam 8 pagi.
Perjalanan dari Kota Padang ke Pulau Sipora mengambil masa lebih kurang 3 jam 30 minit. Setibanya di sana kami terus ke hotel dan bersiap sedia untuk memancing.
Bot dan set pancing
Selama memancing di sini kami menggunakan dua buah perahu kayu berpacukan enjin 15 kuasa kuda. Saiz perahu sedikit kecil kerana sungai-sungai di sini agak sempit dan cetek muaranya.
Jadi, ini memudahkan kami mengangkat atau menolak bot untuk masuk ke sungai-sungai di sini. Kami juga ditemani seorang tekong dan seorang jurubantu di dalam setiap bot.
Di sini kami akan berbekalkan set pancingan mengilat (casting) kerana ikan sasaran ialah ikan black bass dan spot tail bass. Saya menggunakan joran Monsterkiss MX-65 PE5, Fishman BC4 510MXH PE1-8 dan Fishman BC4 510XH PE3-10. Joran-joran ini saya regukan dengan kekili Daiwa Lexa 300WN dan juga Elan Tailwalk.
Rakan saya, Julian pula berbekalkan dua batang joran travel multi-pieces Bone Voyage Expedition PE1-2.5 dan PE3-6. Tali utama (mainline) pula kami gunakan tali sulam 50 hingga ke 65 paun (lb) dengan perambut (leader) 80 sehingga 120lb.
Mainline dan leader terpaksa guna saiz yang kasar kerana lokasi pancingan di sini berupa struktur bereba kayu yang padat, tambahan lagi, ikan
black bass dan spot tail bass ini sangat terkenal ganas dan membenam terus ke struktur di dalam air. Ini semua sebagai insurans supaya kami tidak tewas.
Trip kali ini kami lebih guna gewang permukaan yang boleh beraksi stail ‘walk the dog’, iaitu gelekan ke kiri dan ke kanan apabila ditarik dan dimainkan dengan hujung joran. Ini semua rekomendasi dari guide kami, Iwan yang menyatakan ikan-ikan pemangsa di sini lebih tergoda dengan aksi gewang permukaan seperti itu.
Gewang-gewang permukaan seperti Duo Pencil 130 dan Duo Fangstick 150 ini akan menghasilkan bunyi yang kuat dan lenggokan yang cantik ketika dikarau. Dengan menggunakannya saya berhasil mendaratkan beberapa ekor black bass.
Cuma spesies spot tail bass yang tidak dapat kali ini kerana beberapa kali sambaran tidak lekat dengan sempurna.
Saya pasti akan kembali lagi untuk memancing serta menjelajah ke seluruh pelusuk Mentawai ini pada masa akan datang.