PETALING JAYA – Melalui kehidupan ketika kecil, pelawak terkenal Singapura Gurmit Singh mengakui pernah terbit rasa kesal dilahirkan dalam keluarga yang kurang berkemampuan.
Kongsi Gurmit atau nama lengkapnya Gurmit Singh Virk Chainchal Singh, 60, dia pernah tidur beralasakan tilam nipis di rumah flat di Singapura selain hanya mengunjungi restoran makanan segera bersama keluarga setahun sekali.
Saya mengaku semasa susah dulu saya sangat marah. Saya membesar dalam sebuah keluarga yang kurang berkemampuan dan tinggal di rumah flat yang hanya ada dua bilik.
“Saya tidur di ruang tamu atas tilam nipis dan hanya makan nasi dengan kentang bersama kicap.
“Setahun sekali kami dapat makan di restoran makanan segera setiap kali perayaan Deepavali ketika itu barulah kami rasa senang,” katanya dalam sebuah temu bual.
Dalam masa sama, pelakon yang popular menerusi watak ikonik Phua Chu Kang itu pernah menabung 40 sen selama seminggu semata-mata mahu keluar bersama rakan-rakannya.
“Kalau selepas waktu sekolah pula kawan akan ajak saya keluar makan di restoran makanan segera tetapi saya tiada duit sebab dah guna 40 sen semasa waktu rehat.
Jadi, saya akan selalu beri alasan kepada kawan-kawan. Saya pernah tak gunakan 40 sen untuk kumpulan sehingga hari Jumaat.
“Bila tiba hari Jumaat, saya akan pergi ke restoran makanan segera bersama rakan-rakan saya,” jelasnya lagi.
Apabila sudah berjaya, Gurmit akan singgah di mana-mana restoran makanan segera untuk membeli makanan di sana bagi mengingati kehidupan lamanya.
“Sampai sekarang bila saya pergi negara lain, saya akan cari restoran makanan segera untuk beli sandwic Fillet-O-Fish,” katanya. – KOSMO! ONLINE