KUALA LUMPUR – Setelah enam tahun tidak diadakan, Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) kembali mengadakan semula majlis malam anugerah sukan terutama bagi menghargai penggiat sukan permotoran negara, pada 25 Februari 2024 ini nanti.
Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, majlis malam anugerah 2024 tersebut diadakan semula untuk memberi penghargaan kepada usaha, pencapaian dan sumbangan para pelumba serta organisasi yang telah mengangkat martabat sukan permotoran negara.
Tegas Mokhzani, majlis tersebut bakal memperkenalkan sebanyak 22 kategori termasuk 11 kategori anugerah prestasi yang akan mengiktiraf pencapaian cemerlang para pelumba sepanjang tahun 2024.
“Kali terakhir majlis ini dianjurkan ialah pada 2019, sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia. Oleh itu, kami mahu menjadikan anugerah ini sebagai platform terbaik untuk menghargai pelumba dan juga organisasi, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
“Insya-Allah, kira-kira 750 penyertaan termasuk peserta, organisasi, media, dan sebagainya akan hadir dalam majlis ini nanti. Matlamat kami adalah untuk meraikan semua individu yang melibatkan diri dalam sukan bermotor di Malaysia mahupun di pentas antarabangsa.
“Bagi saya, anugerah ini penting kerana MAM sebagai organisasi induk, jadi perlu meraikan semua kejayaan pelumba dan pemandu di Malaysia.
“MAM juga telah membuktikan bahawa kami boleh menjalankan tugas yang diamanahkan oleh FIA dan FIM dengan baik. Alhamdulillah, pada tahun 2024, saya rasa kita telah mencapai tahap yang baik semula selepas wabak Covid-19 melanda dunia,” katanya pada sesi sidang media di ibu negara hari ini.
Selain itu, Mokhzani turut berharap majlis anugerah tersebut akan menjadi acara tahunan dan mampu menarik minat masyarakat terhadap sukan bermotor.
“Kami ingin menarik perhatian bukan sahaja kepada sukan bermotor, tetapi juga kepada bidang-bidang lain. Dengan impak media dan liputan yang besar, kami berharap lebih banyak tajaan akan datang untuk menyokong sukan ini,” tambahnya.
Pada majlis itu nanti, MAM turut memperkenalkan tujuh anugerah pengiktirafan khas, dengan tiga kategori tertentu dibuka untuk pencalonan awam, serta empat anugerah khas untuk kategori penggiat media sukan permotoran turut diadakan pada majlis tersebut. -KOSMO! ONLINE