PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia antara lokasi penting yang perlu berada dalam radar para pelabur dunia.
Anwar yang sedang dalam lawatan kerja di London, United Kingdom (UK) berkata, ia kerana kestabilan politik dan kesiapsiagaan Malaysia untuk menyahut perubahan teknologi dunia.
“Sewaktu berucap pada pelancaran produk oleh YTL Group UK, saya maklumkan hadirin bahawa kestabilan politik dan kesiapsiagaan untuk menyahut perubahan teknologi dunia ketika ini adalah penting untuk menarik minat dan tumpuan para pelabur.
“Malaysia antara lokasi penting yang perlu berada dalam radar para pelabur dunia mengambil kira dua faktor tersebut selain polisi kerajaan yang kritikal terhadap soal tenaga, kecerdasan buatan dan industri semikonduktor,” katanya dalam satu hantaran di media di sosial hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia memerlukan sokongan para pelabur tempatan dan luar negara untuk refleksi transisi kemajuan ekonomi dan kejayaan.
Menurut beliau, ia perlu disokong dengan faktor kestabilan dan keharmonian benua ASEAN yang dahagakan sinergi pelaburan serta perdagangan baharu.
Anwar memulakan lawatan kerja di London, UK semalam dengan mesyuarat dua hala bersama rakan sejawat, Keir Starmer.
Perdana Menteri dijemput ke London bagi memperkukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang. – KOSMO! ONLINE